|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Maklumat Tokoh
Muzik Dan Penulis Lirik Era Kegemilangan Filem Melayu |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ZUBIR SAID
Zubir
Said dilahirkan pada 22 Julai 1907 di Bukit Tinggi, sebuah daerah di
Minagkabau Barat. Sumatera. Beliau merupakan anak sulung dalam
keluarganya, mempunyai 2 adik lelaki dan 5 adik perempuan. Ayahnya
adalah seorang penghulu bernama Mohamad Said bin Sanang.
Ibu beliau
merupakan isteri pertama ayahnya (Mohamad Said), meninggal ketika Zubir
baru berusia tujuh tahun. Zubir mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah
Belanda dan lebih menunjukkan minat kepada bidang muzik berbanding
matapelajaran akademik lain, walaupun mendapat tentangan ayahnya. Namun
Zubir tetap dengan minatnya dan mula belajar mengenai
Solmisasi iaitu
sistem muzik solfa yang menggunakan sistem nota muzik bernombor daripada
guru pengakapnya, sementara rakan sekelasnya di sekolah rendah mengajarnya
cara bermain dan membuat flut. Sejurus sebelum masuk ke sekolah menengah,
beliau belajar bermain gitar dan gendang daripada rakan-rakan dalam
persatuan keroncong. Namun begitu, bakat dan keinginan beliau ditentang
hebat oleh ayahnya. Ayahnya mengharapkan Zubir dapat menggantikan
tempatnya sebagai penghulu kampung, tetapi hampa apabila Zubir menjadi
ahli kumpulan keroncong kampung mereka. Menyedari beliau tidak dapat
memenuhi hasrat ayahnya, ketika berusia 21 tahun Zubir meninggalkan kampung halamannya bersama
kumpulan keroncong tersebut dan mengikuti persembahan di seluruh Sumatera.
Ketika inilah Pak
Zubir diberitahu tentang peluang mencari pekerjaan dalam bidang muzik di
Kota Singapura oleh seorang kelasi dan mengambil keputusan untuk mencuba
nasib sebagai seorang pemuzik di sana. Beliau kemudiannya menetap di
Singapura.
Setibanya beliau di Singapura pada
tahun 1928, Zubir menjadi pemain biola dengan The City Opera, sebuah
kumpulan Bangsawan yang masyhur. Pemain biola kumpulan tersebut yang sudah
berumur meminjamkan Zubir biola dan mengajar Zubir membaca nota muzik
baluk. Memandangkan Zubir seorang pelajar yang teliti dan tekun, beliau
dapat menyalin semua skor muzik yang pernah dimainkan dengan kumpulan
tersebut dalam nota bernombor dan nota baluk pada masa yang singkat.
Beliau akhirnya menjadi ketua pancaragam
Bangsawan City Opera sehingga tahun 1936.
Setelah berhenti dari City Opera Pak Zubir menyertai
Syarikat rakaman, His
Master's Voice (HMV) sebagai penyelia rakaman.
Pada tahun 1938 Pak
Zubir berkahwin dengan penyanyi keroncong terkenal, Tarminah Kario
Wikromo* yang juga berasal dari Indonesia. Ketika Perang Dunia Kedua
tercetus, Pak Zubir dan isteri pulang ke Sumatera dan hanya kembali ke
Singapura pada 1947.
Itulah kisah awal pembabitan Pak Zubir yang memulakan
karier muziknya di Singapura pada tahun 1928 dengan kumpulan Bangsawan
City Opera.
Setelah tamat perang dan kembali ke Singapura pada tahun 1947, Pak Zubir
pernah menyertai Utusan Melayu menjadi jurugambar. Sebelum menyertai Shaw
Brothers pada tahun 1949, Pak Zubir bekerja
di Sandiwara Dardanela. Selepas itu,
beliau bertugas di syarikat His Master's Voice (HMV).
Tidak lama selepas
beliau ditawarkan bekerja di Syarikat Shaw Brothers sebagai penyusun
lagu-lagu filem MFP, Pak Zubir kemudiannya diberi kepercayaan menjadi
pemimpin Orkestra Shaw Brothers’ Malay Film Production pada 1949, dan
kemudiannya sebagai penggubah skor untuk filem Melayu di Cathay Keris Film
Productions dari 1952 hingga 1964.
Kerjaya sebagai pemimpin Orkestra Studio Malay Film Productions (MPO)
millik Shaw Brothers bermula pada tahun 1949 dimana beliau banyak
menghasilkan lagu-lagu untuk filem.
Pak Zubir yang dianggap sebagai
guru kepada ramai penggubah terkemuka di rantau ini, misalnya P. Ramlee
dan Wandly Yazid, telah menerima banyak pujian dan anugerah daripada
kerajaan dan badan-badan seni di Singapura. Mengenai ketokohan Pak Zubir,
P.Ramlee pernah berkata "Pak
Zubir berkeperibadian Melayu dan aku caca merba (cincai)".
Pengiktirafan bagi
Pak Zubir tercapai apabila kerajaan Singapura mengarahkan beliau menggubah
lagu kebangsaan Republik itu, Majulah Singapura, dan beberapa lagi
lagu-lagu rakyat yang bersifat patriotik, termasuklah Semoga Bahagia dan
Orang Singapura yang menjadi lagu tema bagi Hari Kanak-Kanak dan Pesta
Remaja Singapura. Pak Zubir juga telah diminta menggubah lagu kebangsaan
Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957 tetapi
ini tidak terlaksana kerana ketidaksefahaman yang timbul di antara beliau
dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman. Namun beliau
dikenali ramai sebagai seorang yang merendah diri dan tidak pernah megah
dengan pencapaiannnya. Tidak diketahui bilangan sebenar lagu yang telah
digubah oleh Pak Zubir sehingga kematiannya pada 16 November 1987 di
Singapura dalam usia 80 tahun, namun ada yang menjangka bilangannya
menjangkau 1,000 lagu, termasuk lagu-lagu terkenal seperti Sayang Disayang
nyanyian asal Rubiah dari Filem Racun Dunia dan telah
dirakamkan semula oleh Kartinah Dahari
dan Perigi Biru. Pak
Zubir meninggalkan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Sebagai penggubah
yang penting dan disanjungi di zamannya, Pak Zubir dianggap oleh ramai
orang sebagai penggubah jiwa Melayu yang sebenar. Beliau menggubah lagu
bersifat tradisional, tetapi masih berunsur moden dan patriotik, diungkap
dengan mesej sejarah dan erti kemelayuan. Wartawan A. Samad Ismail pernah
berkata bahawa Pak Zubir dan rakan senimannya dari Minangkabau telah
mengocakkan ombak kesedaran kebangsaan dalam dekad bersejarah 1950an.
Zubir Said menerima anugerah Sijil Kemuliaan dari Yang Dipertuan Negara
Singapura, Encik Yusof Ishak, pada 16 Mac 1963.
Antara lagu-lagu terbaik beliau yang popular hingga ke hari
ini ialah lagu Setangkai Kembang Melati (Nyanyian Abdullah Chik &
Jamaliah Shariff), Nasib Malang (R Ismail - Filem Jula Juli Bintang Tujuh
), Anak Daro (Umi Kalthum - Filem Tunang Pak Dukun), Sang Rembulan (
P.Ramlee - Racun Dunia),
Cinta - P. Ramlee & Asiah
(Filem Chinta), Selamat Berjumpa Lagi - P. Ramlee & D. Harris (Filem
Chinta), Mari Pancing Ikan ( P.Ramlee), Gelora Asmara (P. Ramlee & Momo
Latiff), Kumbang Dan Rama-Rama - P. Ramlee & Asiah (Filem Chinta), Melodi
Asmara ( P. Ramlee & Asiah), Kolam Mandi ( P. Ramlee & Asiah - Filem Racun
Dunia), Jodoh (Ikan Di Laut Asam Di Darat - Nyanyian R Azmi & Rubiah -
Filem Dewi Murni), Nada Merindu ( Asiah - Filem Cucu Dato' Merah) dan
Sirih Pinang ( Asiah - Filem Bawang Puteh Banwang Merah).
* Isteri Pak
Zubir, Tarminah meninggal dunia pada 13 Mei 2007 di Johor Bahru.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
AHMAD JAAFAR
Ahmad
Jaafar dilahirkan di Binjai,Sumatera Utara, Indonesia pada 30 hb Ogos
1919. Ibunya bernama Ulung Rajunah, sementara bapanya Jaafar, merupakan seorang ejen wayang gambar bisu sementara bapa
saudaranya pula seorang tukang biola yang menjadi penghias lagu-lagu
hiburan di era filem-filem bisu dan pentas bangsawan ditayangkan. Minat
beliau terhadap bidang muzik berputik sejak muda lagi. Dibesarkan oleh
neneknya, semasa beliau
berumur enam tahun, beliau mula belajar bermain perkusi (dram) dan
kemudiannya bermain dengan pancaragam panggung wayang yang mengiringi
tayangan filem bisu.
Didikan formal
bagi Ahmad hanya bermula apabila beliau belajar bermain biola dengan bapa
saudaranya. Kemudian ketika berusia 15 tahun, Ahmad menggunakan kemahiran
baru yang diperolehinya untuk menyertai Pancaragam Medan Amateur di bawah naungan
Sultan Langkat di awal tahun 1930-an yang dipimpin oleh Mohamad Darus
Omar, Pengarah Band Tentera Sultan Langkat. Sambil berkhidmat dengan pancaragam
tersebut, Ahmad mendapat didikan muzik yang lebih lanjut daripada ketua
pancaragam. Pada tahun 1938, Ahmad berjaya menjadi pemain klarinet
dengan pancaragam Simfoni Belanda, White Society, yang bertapak di Medan.
Apabila peperangan
dunia ke-2 meletus, Ahmad bersama-sama dengan rakan-rakan bekas kumpulan
pancaragamnya menubuhkan kumpulan teater dibawah paksaan tentera Jepun
menjelajahi Sumatera dan diarahkan membuat persembahan teater bagi
memperkembangkan propaganda Jepun.
Apabila perang
berakhir, Ahmad berazam untuk meneruskan cita-citanya untuk berkhidmat di
Radio Malaya. Pada tahun 1946, Ahmad bersama isterinya,
Sutinah Enchu menaiki bot lebih empat jam dari Medan ke Singapura untuk
mencuba nasib di Kota Singa itu. Tiba di Singapura tanpa
pekerjaan hampir 2 bulan, beliau akhirnya diterima untuk menjadi peniup
saxaphone dalam Kumpulan Muzik Cecil Wilson yang bermain di Great World
Cabaret dimana beliau diperkenalkan dengan Osman Ahmad. Dengan kumpulan
muzik ini, Ahmad mendapat bayaran S$250 sebulan.
Pada tahun 1949,
Ahmad Jaafar menyertai Kumpulan Muzik baru,
Harry Hackmayer yang bertapak
di Restauran Cathay. Dengan kumpulan muzik ini, gaji Ahmad meningkat S$400
sebulan. Kumpulan muzik ini mengadakan persembahan di hotel-hotel
dengan lagu-lagu Melayu, Amerika Latin dan juga lagu-lagu tema bagi
pertunjukkan Sarkas.
Pada tahun
1950-an, Ahmad berjaya menjadi pemain muzik 'part-time' dengan Radio
Malaya. Ketika inilah beliau mendapat kontrak dengan Shaw's Malay Film
Productions dan juga Pertubuhan Cathay Keris untuk mengubah lagu-lagu
latar dan nyanyian untuk filem. Di waktu inilah lahirnya
lagu-lagu gubahan malar segar beliau seperti Ibu, Selamat Hari Raya dan
Bunga Tanjong
Pada tahun 1958,
Ahmad berjaya mendapat pekerjaan tetap di Radio Malaya sebagai pemain
klarinet, flute and tenor saxophone, ketika ini beliau berpeluang
mengadakan persembahan secara professional dengan Kumpulan Muzik yang
ditubuhkanya buat pertama kali, Malayannaires. Apabila Singapura mencapai
kemerdekaan pada tahun 1965, Ahmad telah dilantik sebagai timbalan
pemimpin Orkestra yang baru ditubuhkan, Rayuan Kencana di bawah Radio dan
Televisyen Singapore (RTS). Dua tahun selepas itu,Ahmad telah diberi
kepercayayn menjadi pemimpin utama Orkestra tersebut sehinggalah beliau
bersara pada tahun 1992. Dalam tahun 1970-an, Orkestra di bawah
pimpinan Ahmad Jaafar bermain untuk mengiringi penyanyi-penyanyi berbakat
dalam pertandingan muzik, Talentime.
Ringkasnya, penglibatan
serius Ahmad Jaafar dalam bidang muzik bermula setelah berhijrah ke Singapura pada
tahun 1946. Perkenalannya dengan pemuzik Osman Ahmad memudahkan laluan
beliau untuk menjadi pemuzik di Kota Singa itu. Pada tahun 1950, beliau
diberi peluang mencipta lagu Ibu sebagai lagu tema filem yang sama
tajukkan dan lagu itu dinyanyikan oleh P.Ramlee. Beliau kemudian diberi
kepercayaan menhasilkan lagu-lagu untuk filem Penghidupan dan beberapa
buah filem lagi. Antara lagu gubahannya yang masih segar ialah Selamat
Hari Raya nyanyian biduanita Saloma. Lagu-lagu ciptaan beliau turut
didendangkan oleh Nona Asiah, R.Azmi, Ahmad Daud dan ramai lagi. Ahmad
Jaafar pernah mengasaskan Orkes Rayuan Kencana yang cukup popular di tahun
50-an kerana sering diundang oleh Radio Malaya di Singapura. Beliau juga
turut memimpin Orkestra HMV untuk mengiringi rakaman lagu-lagu P.Ramlee ke
piring hitam seperti lagu-lagu rakaman dari filem perjodohan iaitu
Mengapakah Riang Ria nyanyian P.Ramlee & Normadiah dan juga lagu Sungguh
Malangnya Nasibku nyanyian P.Ramlee, lagu-lagu dalam Filem Sedarah seperti
Mesra Ibu dan Kalaulah Boleh Ku Lupa dalam Filem Aladin. Pada awal tahun
1990-an (1992) beliau bersara dari Perbadanan Penyiaran Singapura dan
setelah itu beliau mengajar muzik.
Ahmad telah
menggubah beberapa lagu kegemaran ramai yang diminati hingga masa kini,
misalnya Ibu (nyanyian P.Ramlee - Filem Ibu), Selamat Hari Raya (Nyanyian
Saloma), Bunga Tajung (Rubiah),Hujan Lebat dan Tiada Berita. Dipercayai
Ahmad hanya menggubah 80 buah lagu tetapi bilangan gubahan dan susunan
muzik amat banyak, termasuk beberapa gubahan untuk orkestra simfoni yang
dipersembahkan dalam rancangan Malam Irama Malaysia anjuran Radio Malaysia
pada tahun 1960an.
Ahmad Jaafar telah dianugerahkan beberapa pingat penghormatan sebagai
menghargai sumbangan beliau dan ini termasuk Singapore Administrative Star
(Bronze) dan Culture Medallion Award (Silver).
|
|
|
|
|
|
YUSOFF B
Yusof B atau
nama penuhnya Yusof Blugok adalah anak jati Singapura berketurunan Bugis,
ibu bapanya berasal dari Sulawesi dan menetap di Singapura pada awal tahun
1890an. Beliau adalah adik kepada Rahman B, ayah penyanyi popular Alina
Rahman.
Sejak kecil
Yusoff tertarik dengan bidang muzik dan seterusnya menjadi seorang pemuzik
yang serba boleh. Beliau boleh bermain saksofon, mandolin, trompet,
serunai dan biola serta dengan mudah mendapat kerja di mana-mana kelab
malam yang terkenal di Singapura.
Beliau mula
mengubah lagu sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu lagi.
Tuahnya menyerlah pada tahun 1948 apabila bertugas dengan Orkestra Malay
Film Productions (MFP) bersama-sama dengan Osman Ahmad dan Ahmad Wan Yet
yang dikatakan banyak mempengaruhi karya-karya beliau. Lagu-lagu karyanya
yang masih dinyanyi dan dirakamkan termasuklah “Suka Sama Suka’, ‘Nona
Zaman Sekarang’, dan lagu hari raya sepanjang zaman, ‘Nasib Miskin Kaya’.
Perkembangan filem Hindi dan unsur-unsur filem Hindi dalam filem Melayu
sekitar tahun 50an banyak mempengaruhi Yusoff yang kemudiannya menubuhkan
kugiran Hindi bersama Wahid Satay dan Johari Salleh yang dipanggil Chandra
Raat (Malam Terang Bulan).
Antara anak
murid beliau ialah Aziz Jaafar, Wahid Satay dan Johari Salleh sendiri.
Lagu-lagunya banyak dinyanyikan oleh P.Ramlee, Saloma serta
penyanyi-penyanyi terkenal dekad 50 dan 60-an. Lagu-lagu popular
lain ciptaannya termasuklah Pahlawanku, Semarak Hati (Filem Juwita),
Saya Suka Berkawan ( Filem Putus Harapan ), Bunga Kembang (
Filem Kerana Kau ), Tari Tualang Tiga ( Filem Sumpah Orang Minyak
), Senyum Tak Berbalas, dan Wanita Dan Teruna (Filem Iman ).
Yusof B meninggal dunia pada 25 Disember 1968.
Sebagai seorang
penggubah dan penyusun muzik, Yusoff amat tekun dan teliti. Beliau hanya
akan memulakan gubahannya setelah membaca skrip dan mendalami jalan cerita
dan mesej filem. Beliau sangat teliti dalam menyusun muzik bagi gubahannya
dan dalam memilih artis untuk menyanyikan lagunya.
Yusoff B juga merupakan seorang guru yang mejadi rebutan para pemuzik baru
di Singapura misalnya penggubah / pemimpin orksetra Johari Salleh dan
pelakon / penyanyi Aziz Jaafar. Johari Salleh menanggap beliau seorang
yang berani mencuba sesuatu yang baru dan komited dalam memperkayakan
perkembangan muzik Melayu melalui penggunaannya dalam filem.
Anak murid Yusoff B mengangapnya sebagai orang yang bertanggungjawab
membangunkan lagu dan muzik Melayu zaman mereka melalui orkestra MFP.
Artis popular tahun 50an, termasuk P. Ramlee dan Saloma turut merakamkan
banyak lagu malar Yusoff B. Karya klasiknya termasuklah ‘Pahlawanku’,
‘Semarak Hati (dalam Juwitaku)’, ‘Senyum Tak Berbalas’, ‘Tari Tualang
Tiga’ (dalam filem Sumpahan Orang Minyak) dan ‘Wanita dan Teruna’ (dalam
filem Iman). Zaman kegimilangan filem Melayu mula pudar pada tahun 1968
dan secara kebetulan Yusoff meninggal dunia pada tahun yang sama.
Lagu-lagunya dapat
didengar menerusi filem-filem seperti "Juwita", "Derita", "Antara Senyum
dan Tangis", "Anjuran Nasib", "Patah Hati", "Lupa Daratan", "Miskin",
"Cemburu", "Putus Harapan", "Kerana Kau", "Sengsara", "Gelora Hidup",
"Iman" dan lain-lain. Kebanyakan lagu ciptaannya dirakamkan oleh Jasni -
seperti "Jangan Berlagak Sombong", "Tari Bunga Rampai", "Menari Calypso",
"Semarak Hati", "Bahagia", "Cinta Sama Cinta", "Bisikan Padi", "Wanita dan
Teruna", "Tari Selendang" dan lain-lain.
Penyanyi pertama yang merakamkan lagu "Nona-nona Zaman Sekarang" ialah A.
Rahman iringan Lincoln's Orchestra, dengan tajuk "Nona Zaman Sekarang".
Rakaman itu dikatakan cukup popular pada awal tahun 40-an.
Dari awal tahun
50-an hingga akhir 50-an Yusoff B bekerja di Studio Malay Film Productions
(MFP). Dari akhir 50-an hingga awal 60-an dia berhijrah ke Studio Cathay
Keris, kemudian kembali semula ke MFP sehingga studio itu ditutup pada
akhir tahun 60-an. Ketika di Studio Cathay Keris Yusoff B ditugaskan untuk
menyusun muzik/mencipta lagu untuk filem Selendang Delima, Orang Licin,
Orang Minyak, Raden Mas, Rasa Sayang Eh, Sumpitan Racun, Salah Sangka dan
beberapa filem lain.
Yusoff B ini ialah
bapa saudara pelakon Aziz Jaafar, me'rekomen'kan Aziz kepada Shaw Brothers
untuk diambil bekerja. Secara kebetulan, Aziz Jaafar juga pandai bermain
trompet.
"Dalam satu
pertunjukan pentas di Kluang, Johor dalam tahun 1962 P. Ramlee memberitahu
para penonton Yusof B adalah guru muziknya yang banyak berjasa kepadanya.
Manakala Yusof B yang berdiri di sebelah P. Ramlee bersama saxophonenya
dalam pertunjukan itu secara ikhlas pula menyatakan: "Memang Ramlee pernah
menjadi anak murid saya, tapi sekarang saya pun belajar dengan dia pula
......."
Pengakuan Yusof B itu telah menyebabkan P. Ramlee menitiskan air mata
kerana tenggelam dalam perasaan terharu yang amat sangat."
Sumber: Buku P. RAMLEE - INSAN PESONA SENI tulisan Aimi Jarr.
Diantara murid-murid adalah P.Ramlee dan Aziz Jaafar.
Almarhum pandai bermain seksafon, seruling, gitar dan biola. Beliau mahir
menghasilkan seruling dari sebatang buluh dan beliau tahu memperbaiki alat
muzik. Beliau tahu kalau seksafonnya rosak atau tidak dengan meniupkan
asap rokok. Kalau asap keluar, bermakna alat perlu diperbaiki.
Almarhum meninggal pada 25 Disember 1968. Kepergian beliau adalah di zaman
industri perfileman Melayu Singapura pudar.
Lagu "Tari
Bunga Rampai" nyanyian Jasni adalah ciptaan Yusoff B dengan lirik oleh S.
Sudarmaji. Rakaman semula lagu itu pernah dibuat oleh Gaya Zakry, juga
Faridah M. Amin. Versi Jasni itu yang diiringi oleh Yusoff B Orchestra dan
dirakamkan pada 1959. Sebuah lagi lagu pada rekod yang sama Pathe PTH 244
ialah Jangan Marah2 juga ciptaan Yusoff B tetapi lirik oleh Jamil Sulong.
Antara
lagu ciptaan Yusoff B:
Nona-nona Zaman Sekarang
- Sandra Reemer dengan orkestra pimpinan Frans
Kerkhof
Tari Selendang -
Jasni/Momo & Yusoff B Orkestra
Tari Selendang -
Ismail Haron & Anita Sarawak
Jefri Zain (lirik:
Jamil Sulong) - Kartina Dahari & Orkes Puspawarna- filem: Gerak Kilat
Budak Hitam (lirik:
Noordin Arshad) - Saloma/Aziz Jaafar - filem: A Go Go 67
Waspada (lirik:
Noordin Arshad) - Saloma/Aziz Jaafar - filem: A Go Go 67
Jangan Pilih Yang Cantik
- Rosemaria. Lagu asal nyanyian Saloma dengan lirik
berlainan susunan S. Sudarmaji.
Satu lagi lagu
ciptaan Yusoff B, OST dari filem Sengsara Lakonan Normadiah & Yusoff Latif
ialah Selalu Di Hati versi filem dinyanyikan oleh R Azmi dan Lena.
Untuk versi nyanyian kanak-kanak, ada tiga suara berpadu tapi tidak pasti
suara siapa?
Lagu itu bertajuk Selalu Di Hatiku - dinyanyikan dua kali dalam filem
Sengsara (1953). Kali pertama dinyanyikan oleh Zaleha (Adik Rahmah -
mungkin Rahmah Rahmat), Rosli (Adik Rahman - Rahman Rahmat) dan Sabaruddin
(Daeng Idris). Saya kurang pasti suara siapa yang digunakan dalam nyanyian
itu, tapi rasanya Rahman Rahmat menggunakan suara sendiri sebab suara
nyanyian dan ketika menuturkan dialog ada persamaan. Kali kedua
dinyanyikan di pentas pertunjukan sewaktu Zaleha (Normadiah) dan Rosli
(Yusoff Latiff) sudah dewasa. Normadiah menggunakan suara Lena manakala
Yusoff Latiff - suara R. Azmi. Normadiah waktu itu baru berhijrah ke MFP
dari Studio Nusantara dan belum menggunakan suara sendiri untuk adegan
menyanyi.
Versi piring hitam dinyanyikan oleh Jasni dan Lena iringan Yusoff B
Orchestra. Pada piring hitamnya, Pathe PTH 155 yang diterbitkan pada 1955,
nama Yusoff B sebagai pencipta lagu dan S. Sudarmaji sebagai penulis lirik
tidak dicatatkan, tetapi nama mereka tercatat pada filemnya.
Lagu
nyanyian Jasni iringan Yusof B Orkestra -
Menari Calypso.
Lagu ciptaan Yusof B dan lirik susunan Jamil Sulong.
Beberapa
lagu ciptaan Yusoff B nyanyian Jasni
Jangan Berlagak Sombong
Juitaku
Cinta Sama Cinta -
dengan Asiah
Gelora Cinta -
dengan Asiah
Pada rekod Jangan
Berlagak Sombong hanya nama Yusuf B yang dicatat, mungkin allahyarham
mencipta lagu dan menulis liriknya sekali. Rekod Cinta Sama Cinta pula
mencatatkan nama S. Sudarmaji sebagai penulis liriknya. Lirik lagu Menari
Calypso ditulis oleh Jamil Sulong. Lagu2 lain tu tak tahu siapa penulis
liriknya. Jalan terbaik untuk mengetahuinya adalah dengan bertanya pada
anak allahyarham sendiri tentang lagu2 ayahnya.
Nona-nona Zaman Sekarang
(Yusoff B) - Orkes Ger van Leeuwen
Semarak Hati (Yusoff B/S. Sudarmaji) - Jasni & Lena
dgn Yusoff B Orchestra - Pathe PTH 156 (1955) Filem: Juwita (1951)
http://www.mediafire.com/download.php?1ciyczh2jzy
Manis
Budi Bahasa (Yusoff B/S. Sudarmaji) - Asiah & Aziz Jaafar dgn Yusoff B
Orchestra - Pathe PTH 187 (1957)
Filem: Chemburu (1953)
http://www.mediafire.com/?4mbcnj2zkzd |
|
|
|
|
|
OSMAN AHMAD
Osman Ahmad
dilahirkan pada tahun 1910. Beliau mula bertugas di Studio Malay Film
Productions selepas zaman pendudukan Jepun sekitar tahun 1948. Dengan
orkestra Malay Film Productions, beliau mengukir nama dengan menghasilkan
muzik dan mencipta lagu untuk 40 buah filem antaranya yang terkenal ialah
Lela Manja dan Batu Belah Batu Bertangkup. Beliau banyak berkongsi ilmu
dengan penggubah lagu terkenal pada zaman 50-an seperti Yusob B, Ahmad
Jaafar dan P.Ramlee sendiri. Kebanyakkan lagu-lagu ciptaan beliau di
rakamkan di Studio His Master’s Voice (HMV) yang kemudiannya dikenali
sebagai Studio EMI. Antara lagu-lagu ciptaan Osman Ahmad ialah Gunung
Payung, Rintihan Dijiwaku ( Filem Batu Belah Batu Bertangkup), Hidup
Berdua ( Filem Bakti), Juwitaku Sayang (Filem Pembalasan), Mabuk Kepayang,
Malam Ku Bermimpi ( Asmara Bergelora) (Filem Nasib) dan Merpati Dua Sejoli
(Filem Bakti). Lagu-lagu ciptaannya banyak dinyanyikan oleh penyanyi
seperti Saemah, Julia, Lena Abdullah dan A. Rahman ( Ayah R.
Ismail).
Sementara proses rakaman dijalankan di
His Master’s Voice di MacDonald House. Di sanalah, beliau berganding bahu
dengan para penggubah MFP seperti Yusoff B, Ahmad Jaafar, dan P. Ramlee.
Antara lagu gubahan beliau ialah Berhati Lara, Gadis Teruna, Hati Gelisah
dan Dayung Sampan (semuanya dalam filem Aloha pada tahun 1950), Juwitaku
Sayang, dalam filem Pembalasan, Malamku Bermimpi, dan Seri Dewi Malam.
Kedua-dua orang
tua Osman dipercayai berasal dari Semarang, kota pesisir di Jawa,
berhijrah dan kemudian menetap di Arab Street, Singapura. Ayahnya pencanai
emas, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
Disebabkan
hambatan kemiskinan, Osman belajar muzik dalam keadaan yang sukar. Semasa
remaja, dia menggunakan buluh sebagai seruling dan kadbod pula sebagai
gitar.
Pada tahun 1935, Osman berkahwin dengan Annie Abdullah dan dikurniakan 12
anak, tetapi hanya 10 orang yang hidup.
Dengan keluarga yang besar, beliau menjadi pemuzik untuk menambahkan
pendapatannya. Pada sebelah siang, beliau bekerja sebagai pembaca meter
dengan sebuah majlis tempatan, manakala sebelah malam sebagai pemuzik.
Osman juga pernah membuka sebuah kumpulan bangsawan dikenali Madam
Bangsawan tetapi tidak mendapat sambutan. Beliau kemudian menjadi pemuzik
dengan Royal Star Opera. Disebabkan pendapatannya tidak besar, beliau
menjadi pegawai dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Selepas era pendudukan Jepun (1942-1945), banyak kumpulan bangsawan tidak
dapat bergerak dengan aktif. Sebaliknya, kegiatan perfileman mula
berkembang. Dengan pengalaman yang dimilikinya, Ahmad ditawarkan bekerja
dengan MFP.
Bertugas dengan Orkestra MFP, mengubah nasibnya. Namanya terukir sebagai
pemuzik handalan apabila beliau menghasilkan lagu untuk 40 filem. Beliau
juga pernah memberi tunjuk ajar kepada P Ramlee mengenai teknik penyusunan
lagu.
Lagu ciptaannya
yang terakhir berjudul Impian Suci untuk filem Bidasari
(1964). Lagu yang liriknya ditulis oleh Zulkifli Ahmad (bekas suami
pertama Sarimah) itu dinyanyikan oleh Rahimah Simin.
Lagu Juwitaku
Sayang (Nyanyian P.Ramlee & Lena - Filem Pembalasan -1950) dan
Tanda Kasih (Nyanyian Ahmad Mahmud & Rahmah Rahmat - Filem Isi Neraka)
adalah dua daripada lagu2 ciptaan Osman Ahmad yang popular. Sebuah lagi
ciptaannya yang amat popular ialah Yale-Yale dalam filem Yatim
Piatu, 1952 (Nyanyian Momok Latif suara ghaib untuk Saadiah ). Momok
merakamkan lagu itu ke piring hitam pada tahun 1953. Kemudian penyanyi
Indonesia Hasnah Tahar merakamkan semula lagu itu pada akhir tahun 50-an
bersama Orkes Melayu Bukit Siguntang.
Sebahagian besar
lagu-lagu yang dinyayikan oleh Seniwati Normadiah terutamanya lagu-lagu
filem adalah ciptaan Osman Ahmad. Antaranya ialah Penggodaan, Seloka,
Jangan Merajuk, Sejiwa, Rayuan Berirama, Suratan Takdir, Melati Suci,
Sumpah Tanda Setia, Di Alam Rimba, (Seri) Dewi Malam, Hasrat Rohani
dan Tidurlah Nanda.
Adalah dipercayai
Osman Ahmad telah menggubah ratusan lagu disepanjang hayatnya. Namun hanya
36 lagu di bawah nama beliau. Lagu-lagu Osman Ahmad seperti “Pengantin
Bersanding” dan “Kasih Ibu” telah diguna dalam buku teks “Rakyat Yang
Baik”, sementara banyak lagi yang dirakamkan di bawah label HMV (His
Master’s Voice). Sungguh pun zaman mudanya susah, Osman Ahmad telah
berjaya mencapai kemuncak kerjayanya berkat keazaman yang kuat.
Lagu-lagu lain
gubahan Osman Ahmad adalah seperti berikut:-
Gadis Melayu - Momo
& Osman Ahmad Orchestra
Janji Diikat
(lirik: Jamil Sulong) - Normadiah & Osman Ahmad Orchestra - filem: Ribut.
Sharifah Aini memilih lagu
Janji Diikat
untuk dimuatkan dalam EP keempatnya yang bertajuk Perasaanku keluaran
1972.
Hasan Hasnah
(lirik: Jamil Sulong) - Asiah/Ismail Kassim & Osman Ahmad Orchestra -
filem Ayer Mata. Versi kitar semula
oleh Uji Rashid & Hail Amir dengan tajuk
Abdul dan Uji
dan lirik berlainan.
Pelita Hati (lirik:
Zainal Abbas) - Kamariah & Osman Ahmad Orchestra
Asmara Bergelora -
P. Ramlee & Asiah - filem: Nasib. Pada tahun 1962 P. Ramlee dan Saloma
merakamkan semula lagu ini tetapi dengan tajuk
Malam Ku Bermimpi
dengan liriknya diubah sedikit oleh S. Sudarmaji.
Dewi Malam (lirik:
Jamil Sulong) nyanyian Normadiah iringan Osman Ahmad Orchestra. Versi
filem (Putera Bertopeng) nyanyian Saloma untuk Latiffah Omar.
Rakaman semula oleh Sharifah Aini dengan tajuk
Seri Dewi Malam pada 1970
menghiasi EP pertamanya yang juga diberi judul Seri Dewi Malam.
Tasek Madu - Versi asal (rekod)
nyanyian P. Ramlee & Lena. Versi filem (Aloha) nyanyian R. Azmi (untuk
Osman Gumanti) dan Lena (untuk Mariam).
Tasik Madu -
Uji Rashid & Hail Amir.
Betapa Riangnya
(lirik: S. Sudarmaji) - P. Ramlee & P. Ramlee Orchestra - filem: Puteri
Gunung Banang (versi filem nyanyian Aziz Jaafar untuk Ahmad Mahmud)
Juwitaku Sayang
- Ahmad Jais & Rafeah Buang. Versi asal: P. Ramlee & Lena. Filem:
Pembalasan.
Di Tanjong Katong Nyanyian Saloma iringan Ahmad Wan Yet's Orchestra (
Di Tanjong Katong)
yang dikatakan ciptaan Ahmad Patek.
Versi
Kartina Dahari.
Lagu berirama Melayu asli Embun Menitik juga ciptaan Ahmad Patek
(Abang Osman Ahmad) (seperti yang tercatat pada pembukaan filem Seniman
Bujang Lapok).
Osman Ahmad meninggal dunia di rumahnya di Geylang, Singapura pada 30
November 1964.
|
|
|
|
|
|
KASSIM MASDOR
Anak
kelahiran Singapura pada 19 September 1938 ini menerima pendidikan Sekolah
Melayu, satu-satunya komposer veteran yang telah berkecimpung dalam
industri muzik Singapura selama setengah abad, mulai tahun 1950an
sehinggalah ke hari ini. Pemuzik Singapura ini berbangga dapat menuntut
dengan P. Ramlee dan menjadi kawan kepada seniman tersebut yang beliau
anggap sebagai abang. Kerana kemiskinan, beliau terpaksa bekerja
pada usia remaja di Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas.
Kassim mula
berkhidmat dengan Shaw Brothers’ Malay Film Productions (MFP) sebagai
seorang kerani pada tahun 1952. Beliau bertekad mengasah bakat dalam
bidang muzik dan azam ini semakin menebal apabila beliau bertemu dengan P.
Ramlee dan tokoh-tokoh lain di MFP. Anak muda ini berguru dengan P.Ramlee
dan Osman Ahmad. Beliau pandai bermain gitar, piano dan zilofon dan
menghargai keperihan bekerja dengan P. Ramlee dan bagaimana pengalaman
tersebut telah menjadikan beliau seorang pemuzik yang baik.
Kassim pernah
berkata, " Abang Ramlee selalu memaksa saya bekerja hingga lewat malam
untuk menyiapkan skor-skor muziknya, ia memang memenatkan tetapi satu
pengalaman yang begitu berharga". Pada tahun sekitar 1956, Kassim
sudah dianggap pengubah dan penyusun muzik yang berkebolehan.
Beliau turut
menjadi anggota perintis Panca Sitara, sebuah kumpulan padusuara yang
diasaskan oleh P.Ramlee. Pada 1968, sebaik sahaja Shaw Brothers membuat
keputusan menutup Studio Jalan Ampas, Kassim dipanggil EMI Singapura untuk
menjadi penerbit, komposer dan penyusun muzik di situ. Sepanjang lima
tahun bersama EMI, Kassim menerbitkan lebih 60 buah album dan dipandang
tinggi sebagai salah seorang komposer ulung pada akhir tahun 60an hingga
ke tahun 70an.
Muzik Melayu
sepanjang dekat 1960-an dan 1970-an dikuasai oleh karya Kassim Masdor yang
menampilkan penyanyi seperti Kartinah Dahari, Ahmad Duad, Ahmad Jais,
Alahyarham Rafeah Buang, Sanisah Huri, Sharifah Aini dan Fazedah Joned.
Malah bersama Mr. Teo dan Yusnor Ef, Kassim pernah menubuhkan syarikat
rakaman Senada pada awal tahun 70-an. Beliau pernah menjadi pengarah muzik
bagi 18 buah filem terbitan Singapura dan Malaysia. Sehingga kini Kassim
telah menggubah lebih dari 400 buah lagu yang kebanyakkan liriknya ditulis
oleh sahabatnya, Yusnor Ef, anak murid P.Ramlee.
Pada Oktober 2002,
Kassim diberikan Anugerah Pencapaian Artis Sepanjang Hayat oleh Persatuan
Pemuzik Melayu Profesional Singapura (PERKAMUS) sempena ulang tahun
PERKAMUS yang ke 10.
|
|
|
|
|
|
AHMAD WAN YET
Nama sebenar
Ahmad Wan Yet ialah Syed Mohamad Wan Yet bin Angkap, dilahirkan pada tahun
1924. Banyak mencipta dan mengubah lagu-lagu untuk filem-filem
Melayu terutamanya filem-filem terbitan Maria Menado Film Productions.
Ahmad Wan Yet juga banyak mencipta lagu-lagu untuk iklan.
Seorang pemuzik dan pencipta lagu yang baik hati, penyabar, tekun
mengajar, ramah, suka bergurau, tidak sombong, tidak lokek, dan bersifat
merendah diri dimana beliau sanggup sanggup untuk belajar dan bertanya
sesuatu yang baru tentang muzik dari Dato' Johari Salleh sekembalinya ke
tanah air setelah menamatkan pengajian muziknya dari luar negara.
Menurut Dato' Johari Salleh beliau telah kenal rapat dengan penggubah lagu
Ahmad Wan Yet sejak beliau berumur 17 tahun lagi.
Ketika negara
berada di ambang kemerdekaan Ahmad Wan Yet mencipta lagu-lagu bercorak
patriotik, salah satu lagu tersebut, 'Merdeka' dicipta dan
digubahnya dan lagu itu telah dihadiahkan kepada Tuanku Abdul Rahman.
Dalam bidang
perfileman, Ahmad Wan Yet adalah merupakan seorang kenalan rapat dengan
Dato' Maria Menado dimana beliau banyak menggubah dan mencipta lagu-lagu
untuk filem keluaran Syarikat Filem Maria Menado Film Production seperti
Filem Korban Fitnah. Antara lagu-lagu gubahan dan
ciptaan Ahmad Wan Yet untuk filem tersebut ialah lagu BAHAGIA
nyanyian Maria Menado sendiri dan juga Lagu Burung Dalam Sangkar
nyanyian Abdullah Chik.
Ahmad Wan Yet juga
menjadi komposer yang mengiringi lagu-lagu nyanyian Asiah Tuah, P.Ramlee
dan Saloma dalam Rancangan Kalung Senandung yang diterbitkan dalam 6
episod. Lagu tema rancangan tersebut, Kalung Senandung dinyanyikan
oleh Asiah Tuah dicipta dan digubah oleh Ahmad Wan Yet.
Antara lagu lain
ciptaan Ahmad Wan Yet yang dinyanyikan oleh Asiah ialah Lagu Sireh Pulang
Ke Gagang dimana liriknya ditulis oleh Ismadi. Dengan orkestra
yang ditubuhkan sendiri olehnya, Orkestra Kencana, Ahmad Wan Yet pernah
mengiringi nyanyian Saloma dengan lagu gubahannya bertajuk Senyum Malam.
Antara
penyanyi-penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan dan gubahan Ahmad Wan
Yet ialah Fazedah Joned, Abdullah Chik, Saloma, Maria Menado,Ahmad Daud,
Siti Mariam dan Rosiah Chik. Lagu Malar Segar, Kenang
Daku Dalam Doamu , yang dipopular dan dinyanyikan oleh M Bakri adalah
hasil ciptaan dan gubahan Ahmad Wan Yet. Lagu nyanyaian duet Saloma
& Ahmad Daud, Mambang Biru, dimana liriknya ditulis oleh S
Sudarmaji adalah ciptaan Ahmad Wan Yet.
Jika anda ingin
mendengar kemerduan lagu-lagu ciptaan dan gubahan Ahmad Wan Yet,
dengarkanlah satu lagu popular yang dinyanyikan oleh Saloma yang
kemudiannya dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi terkemudian seperti
Uji Rashid iaitu Lagu Mengapa Dirindu yang liriknya ditulis oleh
Zain Mahmud.
Ahmad Wan
Yet meninggal pada 14 hb Jun 1980 dalam usia 56 tahun.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
WANDLY YAZID
Wandly
Yazid dilahirkan di Bukit Tinggi Padang, Daerah Suliki, Sumatera Barat,
pada 24 hb Februari 1925. Wandly mendapat pendidikan rendah dan
menengah di Sekolah Belanda di Indonesia dan lulus pengajian tinggi di
Institut Latihan Guru di Sumatera Barat. Mula mengenali muzik
ketika belajar di sekolah rendah tetapi mula belajar muzik pada usia 17
tahun ketika telah menjadi guru sekolah dimana beliau mengambil keputusan
untuk belajar bermain biola dan klarinet dibawah pimpinan Pak Hamid dan
En. I Bree. Wandly juga belajar melukis dan bermain piano
dengan En. Wadiki.
Setelah dua
tahun Indonesia diiktiraf Negara merdeka, Wandly telah berhijrah ke
Kuala Lumpur pada tahun 1947 dan seterusnya ke Singapura untuk mencari
peluang bekerja sebagai pemuzik dalam industri filem yang kian berkembang
pesat. Di Sngapura beliau berpeluang mendalami belajar membaca nota
muzik dan bermain alat muzik seperti piano dibawah asuhan En Concordio
Suliano, bermain biola dibawah asuhan En Raquiza dan Paul Suliano dan juga
bermain Saxofon dan klarinet dibawah pimpinan En Paul Martinez.
Mereka yang mengajar Wandly Yazid ini adalah guru muzik yang berasal dari
Filiphina.
Pada tahun 1948,
Wandly mula berkhidmat dengan Syarikat Filem Nusantara. Ketika ini
beliau berkebolehan dalam bermain piano, biola, klarinet dan meniup
saxofon. Wandly telah mengubah lagu-lagu untuk Filem Angin Berpesan
dan Pacar Putih. Pada tahun 1952, Wandly Yazid telah menubuhkan
Orkestra Wandly Yazid, Orkestra Wandly 5 dan juga Orkestra Megawati dengan
Radio Malaya. Pada tahun 1953, Wandly memenangi anugerah Hassan's
Homecoming oleh Unit Filem Malaya. Beliau juga adalah ahli
Singapore Symphony Orchestra sebagai pakar bermain biola.
Wandly
adalah pengasas Syarikat Rakaman Fajar pada tahun 1959 dimana belaiu
mencipta dan mengubah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi seperti
Julie Sudiro, Orchid Abdullah dan Rosiah Chik. Beliau juga adlah
antara pengubah muzik dan guru yang mengasah bakat-bakat penyanyi
terkemudian selepas itu seperti Ernie Djohan dan Rafeah Buang.
Pada tahun 1964,
Wandly berpindah ke Cathay Keris dan dilantik sebagai pengarah muzik di
sana ketika berusia 39 tahun. Beliau menggubah lagu-lagu nyanyian dan
muzik latar untuk filem blockbuster seperti ‘Hang Jebat’ arahan
Hussain Hanif, ‘Ikan Emas’; ‘Dosa Wanita’, ‘Gurindam Jiwa’, ‘Panglima
Besi’, ’Naga Tasek Chini’, ‘Jalak Lenteng’, Lancang Kuning, ‘Kasih Ibu’,
‘Wan Perkasa’, ‘Mata Dan Hati’, ‘Menunggu Kasih’, dan ‘Udang Di Sebalik
Batu’.
Lagu Gurindam Jiwa
yang popular dinyanyikan oleh R Ismail dan Rafeah Buang dan diminati
baik oleh golongan muda ataupun tua adalah ciptaan dan gubahan Wandly
Yazid. Sebagai seorang komposer muzik yang berprofil dan serba
boleh, Wandly telah diberi kepercayaan untuk menggubah muzik latar untuk
rancangan televisyen Singapura seperti Pesta Pop dan juga muzik
untuk beberapa rancangan terbitan Radio Singapura. Wandly
juga merupakan pemain biola berkebolehan dan ahli Orkestra Singapore
Broadcasting Corporation (SBC). Bersama En Ahmad Jarr dan Ahmad
Sahab, Wandly menubuhkan kumpulan muziknya sendiri yang dinamakan Trio
Kafe Vienna yang mempersembahkan muzik-muzik klasik dan kormesial.
Belia juga mengadakan persembahan secara solo bermain piano di hotel-hotel
utama yang diiktiraf.
Wandly juga salah seorang yang bertanggungjawab menubuhkan Megawati
Orkestra, yang menengahkan para pemuzik dan komposer berbakat seperti
Zainal Abbas, Rahmat Ali, dan Jalil Nordin. Beliau dan kumpulan ini
membuat persembahan unutuk Radio Televisyen Singapuura (RTS) di zamannya.
Wandly Yazid
adalah ahli jawatankuasa KOMPASS, PERKAMUS, APAD, NiniEk Mamak (Council of
Advisors) SMA, dan NAtional Arts Council (NAC).
Selepas bersara
pada tahun 1992, selain meneruskan persembahan muziknya, Wandly juga
menjadi guru mengajar muzik kepada generasi muda termasuklah artis-artis
angkatan baru. Beliau juga melukis di pertunjukan-pertunjukan
seni seperti:-
Anugerah &
Pengiktirafan
-
1953:
Anugerah Dokumentari Terbaik, oleh Malayan Film Unit untuk
Hassan’s Homecoming. Kategori Muzik Latar Persembhan Terbaik
Wandly Yazid.
-
2001: Jasawan Agung Minang
(Meritorious Minang Award), oleh Persatuan Minagkabau Singapura
atau
Singapore Minangkabau Association
(SMA).
-
2001: Anugerah Meritorious COMPASS,
oleh
Composers and Authors Society of Singapore
(COMPASS).
-
2002: 7 Magnificent Composers (7 Tokoh
Muzik), oleh
Association of Malay Singers, Composers and
Professional Musicians
(PERKAMUS).
Pengiktiraf Tertinggi kepada Komposer-Komposer Wandly Yazid,
Zubir Said,
Osman Ahmad,
Yusoff B.,
Ahmad Jaafar,
P. Ramlee and
Kassim Masdor.
Wandly Yazid
meninggal pada 5 hb Ogos 2005 pada usia 80 tahun di kediamannya di Jalan
Aljunied Singapura, meninggalkan seorang balu, Hajjah Iswanar Wahid dan 5
orang anak - kesemua berkelulusan universiti..
|
|
|
|
|
|
ACHMAD
C.B.
Achmad Awab
Aziz, atau yang lebih dikenali sebagai Achmad C. B, dilahirkan pada 20
Ogos 1914 di Medan, Sumatera. Ketika berumur lima tahun, Achmad C. B
telah mengikut bapanya ke Singapura dan kemudiannya ke Dungun,
Terengganu. Sejak dari muda lagi Achmad C. B telah menonjolkan minat
mendalam bidang nyanyian dan dalam hal ini beliau amat dipengaruhi oleh
bapa saudaranya, Said Tripoli, seorang tokoh bangsawan.
Achmad C. B yang giat dalam bidang politik sejak muda menjadi ahli
beberapa parti politik Indonesia termasuklah Gerakan Rakyat Indonesia
(GERINDO) di mana beliau mengetuai bahagian kebudayaan. Di sini Achmad
C. B menggunakan bakatnya untuk membangkitkan propaganda anti-penjajah
dan menyemarakan semangat nasionalisme melalui lagu-lagu dan lain-lain
persembahan pentasnya.
Pada tahun 1935, Acmad C. B melancarkan kariernya sebagai seorang
penyanyi dan beliau membuat rakaman pertama dangan HMV (His Master’s
Voice) pada tahun 1963. sajak dari itu, Achmad menanbahkan nama singkat
”C. B.” kepada namanya. C.B. adalah singkatan bagi Cas Bara (panas
baran) iaitu nama julukan yang diberikan oleh rakan-rakannya serasi
dengan semangat nasionalistiknya yang membara. Penglibatan Achmad C. B
yang lain termasuklah kumpulan teater, Seri Pentas Rayuan Asmara, yang
membuat kunjungan ke merata Sumatera dan Pantai Barat Semenanjung
Malaysia dan Singapura, sebelum dan selepas pendudukan Jepun.
Beliau juga menjadi juara berturut-turut sebanyak tiga kali dalam
pertandingan keroncong tahunan di Singapura sejak tahun 1939. Walaupun
dikenali ramai sebagai penyanyi dan penggubah bagi banyak lagu patriotik
yang mashur seperti Bangun Anakku, dan Melayu Raya, Achmad C.B juga
menggubah lagu cinta, misalnya Bulan Mengambang dan lagu kanak-kanak
sepertii Belalang dan Kupu-Kupu. Lagu-lagu kegemaran ramai termasuklah
Enjit-Enjit Semut, Belo-Belo, Rentak 106, Cincin Belah Rotan dan 31
Ogos.
|
|
|
|
|
|
AHMAD KHAN BIN
NAWAB KHAN (DATUK)
Ahmad
Nawab dilahirkan di Pulau Pinang dan masih aktif sebagai penggubah muzik
sehinga ke hari ini. Selain dari P.Ramlee, beliau merupakan penggubah
dan pencipta sebahagian besar lagu-lagu filem keluaran Studio Merdeka Ulu
Kelang ( sekarang ini tapak studio tersebut di jadikan tapak FINAS).
Ahmad Nawab telah munggubah muzik untuk filem Si Tora Harimau Jadian dan
lagu-lagu Taman Firdausi dan Ilham Tiba nyanyian P.Ramlee & Saloma untuk
Filem Nasib Do Re Mi. Beliau mahir bermain alat muzik saxaphone dan
telah menghasilkan gubahan lagu untuk ramai penyanyi popular tanah air dan
luar negara yang popular dan berbakat besar seperti Hetty Koes Endang,
Khatijah Ibrahim, Sudirman Hj. Arshad, Uji Rashid, Ramlah Ram, Broery
Marantika dan ramai lagi.
Dato’ Dr. Ahmad
Nawab merupakan seorang komposer muzik yang terkenal di Malaysia dan masih
lagi bergiat aktif dalam penggubahan lagu sehingga ke hari ini. Sepanjang
penglibatannya dalam dunia muzik, beliau telah menghasilkan lebih 200 buah
album.
Popularitinya telah membuktikan
bahawa lagu-lagu ciptaannya adalah berkualiti, di mana beliau masih mampu
mengekalkan serta dapat bertahan lebih dari tiga puluh tahun dalam dunia
muzik tanah air walaupun terdapat kemunculan ramai komposer-komposer muda
yang serba berkebolehan.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PENULIS LIRIK DI
ZAMAN KEGEMILANGAN FILEM MELAYU |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SYED SUDARMAJI BIN
SYED ABDULLAH ( S SUDARMAJI )
Syed
Sudarmaji lebih dikenali sebagai S Sudarmaji dilahirkan pada tahun 1942
disebuah daerah di Jogjakarta, Indonesia. Beliau memulakan kerjayanya
dengan Malay Film Productions pada tahun 1948 sebagai kerani kontinuiti.
Beliau mempunyai latar belakang seni – boleh menulis lirik, berlakon,
menyanyi lagu-lagu keroncong dan menari tarian Jawa dan Bali. Pernah
berlakon bersama P.Ramlee dalam Filem Chinta, Seniman Bujang Lapok dan
Nasib Si Labu-Labi. P.Ramlee kerap mengambil beliau sebagai penolong
pengarah dan membantu menulis skrip semasa di Malay Film Productions,
Jalan Ampas Singapura. Pada tahun 1952, beliau menulis lirik untuk
lagu-lagu filem Anjuran Nasib yang dihasilkan oleh P.Ramlee. Keakraban S
Sudarmaji dengan P.Ramlee membolehkan beliau menghasilkan lirik lagu-lagu
yang meluahkan atau menggambarkan perasaan P.Ramlee seperti dalam Filem
Ibu Mertuaku – Jangan Tinggal daku, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Jeritan
Batinku dan Putus Sudah Kasih Sayang yang mungkin menceritakan sebahagian
daripada kisah hidup P.Ramlee. Selepas penutupan Studio Malay Film
Production di Jalan Ampas pada 16 September 1968, S Sudarmaji mengarah
Filem Ibulah Syurga yang kesemua pelakon-pelakonnya adalah bekas-bekas
bintang filem MFP seperti Aziz Jaafar, Normadiah, Saadiah, Saamah, Omar
Suwita, Rahmah Rahmat, Aziz Sattar dan Sharif Dol yang berkongsi modal
menubuhkan Syarikat Perfileman GAFICO. Namun kerana ketiadaan modal
GAFICO tidak dapat bertahan lama. Bekas-bekas pelakon MFP ini akhirnya
ada yang menyertai Cathay Keris Filem dan ada yang berhijrah ke Studio
Merdeka Kuala Lumpur. S Sudarmaji meninggal dunia pada tahun 1989.
|
|
|
|
|
|
JAMIL SULONG
Beliau
merupakan aktivis seni yang bergiat aktif sejak penubuhan ASAS 50.
Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat pada 6 Ogos 1926. Beliau mula
bekerja sebagai penterjemah dan kemudian sebagai penolong pengarah di
Syarikat Malay Film Production pada tahun 1951. Pernah berlakon bersama
P.Ramlee diawal pembabitan seniman itu di tahun 50-an seperti Filem Patah
Hati (1952) dan Miskin (1952). Filem arahannya yang pertama berjudul Batu
Belah Batu Bertangkup dan Filem Raja Melewar merupakan filem arahannya
yang terakhir. Antar filem lakonan dan arahan P.Ramlee dimana beliau
bertugas menulis lirik lagu untuk filem ialah filem Hujan Panan (1953),
Siapa Salah (1953), Panggilan Pulau (1954), Hang Tuah (1955), Anakku
Sazali (1956), Penarik Beca (1955) dan Semerah Padi (1956). Pernah
menjadi penulis tamu ( Ahli Cipta ) di Universiti Sains Malaysia (USM),
Ketua Panel Penilai Skrip di FINAS dan menjadi AJK Akedemi Filem di
FINAS. Buku karangannya, Kaca Permata telah diterbitkan oleh Dewan
Bahasa & Pustaka pada tahun 1987?. Sepanjang penglibatannya dalam bidang
perfileman, beliau telah berjaya meraih anugrah di Festival Filem Asia
Fasifik untuk filem arahan dan terbitan syarikatnya, R.J. Filem Sdn. Bhd.
|
|
|
|
|
|
H M ROHAIZAD
Nama
sebenar H M Rohaizad ialah Syed Mohd. Hamid bin Syed Muhammad Al-Sagoff
dan dilahirkan pada tahun 1926. Beliau mula berkhidmat dengan menggunakan
nama samaran H.M.Rohaizad. Sebelum memasuki dunia perfileman, beliau
terlibat dalam dunia lakonan sendiwara. Di Malay Fil Production (MFP)
Shaw Brothers, beliau pernah menjadi penolong pengarah untuk filem-filem
seperti Kerana Kau dan Iman. Antara pengarah-pengarah filem dimana beliau
menjadi penolong pengarahnya ialah B N Rao, S Ramanathan, Rolf Bayer, Bert
A. Avellana, Kidar Sharma dan Ramon A Estalla. H M Rohaizad merupakan
salah seorang dari penaja PERSAMA dan pernah menjadi presiden Kesatuan
Pekerja Pekerja di Studio Malay Film Productions. Bekas suami pelakon
Mariani ini adalah salah sorang pekerja Shaw Brothers, selain dari Omar
Rojik, S. Kadarisman, Syed Hassan Sahab dan Musalmah yang pernah disingkir
dari MFP ketika berlaku pemogokan pekerja-pekerja sekitar tahun 1957
tetapi atas rundingan pihak Shaw Brothers dengan Tuanku Abdul Rahman,
mereka semuanya diterima semula bekerja. Dalam bidang muzik pula, P.Ramlee
sering meminta beliau mencipta dan menulis senikata dan gurindam lagu-lagu
filem dan nyanyian P.Ramlee yang digubah dan dinyanyikan sendiri oleh
P.Ramlee seperti Hujan di Tengah Hari, Selamat Berbahagia Wahai Kekasih
dan Zuraidah. Pernah berlakon bersama P.Ramlee seperti dalam filem
Merana dan Anakku Sazali. H M Rohaizad meninggal pada tahun
1961.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
YUSNOR EF
Nama
sebenarnya ialah Mohd Nor bin Mohd. Yusofe, dilahirkan pada 12 September
1937. Beliau merupakan seorang guru di Singapura dan kemudian beralih
tugas sebagai penulis buku teks di Kementerian Pendidikan Singapura.
Sebelum bersara Yusnor Ef pernah menjawat jawatan sebagai Penerbit TV
Pendidikan ( Educational Television Programme) Kementerian Pendidikan
Singapura. Beliau aktif menulis lirik lagu sejak tahun 1959 dan telah
menghasilkan lebih 350 buah lirik lagu sehingga kini. Semasa P.Ramlee
berpindah ke Studio Merdeka Kuala Lumpur, Yusnor Ef berulang alik dari
Singapura ke Kuala Lumpur untuk belajar menulis skrip filem. Filem
pertama Yusnor Ef menulis lirik lagu ialah filem ‘TUNGGAL’ arahan S
Kadrisman bagi lagu-lagu yang dicipta oleh P.Ramlee. Antaranya ialah
Joget Istana, Tari Panglima dan Bermandi Manda semuanya nyanyian Norli
Ismail. Antara lagu-lagu rakaman piring hitam nyanyian P.Ramlee yang
liriknya ditulis oleh Yusnor Ef ialah Senjakala dan Ting Tara Tilala.
Beliau merupakan ahli Lembaga Pengarah COMPASS, Presiden PERKAMUS
(Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura) selain memikul
jawatan penting di Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Development of The
Malay Movie Committee . Pernah menghasilkan beberapa buku tentang
P.Ramlee dan muzik melayu antaranya ialah P.Ramlee Yang Saya Kenal, 7
Tokoh Muzik dan Perkembangan Muzik Melayu sejak 40-an. Selain dari itu
beliau juga menerbitkan program dokumentari televisyen, antaranya Melodi
P.Ramlee, Gemilang Filem Melayu, Muzik Sepanjang Zaman dan Rentra
(Rentasan Muzik Nusantara).
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|